Perutusan Pengerusi

Assalamualaikum, Anggota Koperasi yang saya hormati sekalian.

Laman web yang pada peringkat awalnya dibangunkan secara dalaman oleh anggota-anggota pekerja KPMNJ dengan bantuan dan kerjasama seorang anggota KPMNJ hanya memuatkan secara ringkas latarbelakang penubuhan, aktiviti serta prestasi KPMNJ sejak 10 tahun kebelakang kini telah dipertingkatkan kepada konsep interaktif dan dinamik dimana KPMNJ dan anggota-anggotanya dapat berkomunikasi secara maya.

Laman web ini bukan sahaja akan menjadi sumber informasi terkini kepada semua anggota bahkan ianya menunjukkan bahawa KPMNJ juga tidak ketinggalan dalam menuju era IT. Juga diharapkan anggota-anggota akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini dengan mengutarakan idea-idea serta pandangan-pandangan yang membina bagi kebaikan bersama.

Kami diperingkat Lembaga sentiasa memikirkan untuk memberikan perkhidmatan yang boleh mendatangkan manfaat kepada semua anggota dan usaha ini tidak akan berjaya jika ianya tidak disokong oleh anggotanya sendiri.

Sebagaimana yang telah selalu saya sebut terdahulu, saya ulangi lagi harapan saya agar lebih ramai lagi anggota-anggota kita yang berkebolehan tampil ke hadapan dengan tujuan memberi sumbangan yang ikhlas, bagi kebaikan Koperasi yang kita sayangi ini yang mempunyai masa depan yang amat cerah.

Kami juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Syariah yang diantara ahlinya ialah Mufti Kerajaan Negeri Johor, iaitu Sohibu As Samahah Y.B. Dato' Haji Nooh bin Gadot, yang juga anggota kita. Ini bertujuan supaya dapat dilakukan seberapa boleh segala kegiatan-kegiatan kita mengikut landasan dan lunas-lunas Islam agar ianya mendatangkan lebih barakah.

Walaupun Koperasi kita kini telah dapat bertahan selama 43 tahun, kita tidak harus berpuashati dan leka dengan kejayaan kita selama ini kerana cabaran-cabaran, rintangan-rintangan dan tekanan-tekanan dalaman mahupun luaran bukan sahaja dari segi ekonomi malah dari segi sosial akan sentiasa menduga kewibawaan, keutuhan, kekuatan dan kesatuan kita.

Dalam memastikan KPMNJ terus maju dan dapat merealisasikan apa yang disasarkan, petunjuk utama prestasi atau KPI telah mula diperkenalkan dan diwujudkan untuk smeua aktiviti dalam KPMNJ dan subsidiari-subsidiari . Selain itu , komitmen dalam memastikan pencapaian juga telah dizahirkan dengan adanya akujanji oleh semua yang terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan, Anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman dan juga Anggota Pekerja.

Disamping itu, kami juga perihatin, dibandingkan dengan badan korporat. Koperasi mempunyai unsur dan prinsip serta budaya yang berlandaskan ciri-ciri dan asas yang berlainan. Oleh itu, kami sedaya upaya cuba menjalankan kegiatan-kegiatan menurut prinsip perniagaan yang diubah suai agar selaras dengan prinsip-prinsip Koperasi.

Demikian dan saya sudahi dengan Wabillahitaufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.